KESIMPULAN

Memang adalah tidak dapat dinafikan bahawa masalah sosial yang melanda Malaysia kian meruncing baru-baru ini. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas hinggalah berlaku pelbagai masalah sosial seperti merokok, ponteng sekolah, gangsterisme, vandalisme, pembuangan bayi dan penagih dadah di kalangan mereka. Menurut kajian, gejala sosial di kalangan mereka telah meningkat dari semasa ke semasa. Banyak pihak yang amat membimbangkan masalah sosial di kalangan remaja terutamanya para ibu bapa dan pendidik, maka langkah-langkah yang sewajarnya perlulah diambil supaya dapat mengatasi masalah ini.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam membanteras gejala sosial kerana merekalah yang merupakan saudara yang terdekat bagi anak-anak mereka. Ibu bapa sendiri perlu memainkan watak mereka dengan menunjukkan teladan yang baik dan tidak melakukan perkara yang tidak betul di depan anak-anak mereka. Hal ini adalah kerana anak-anak ibarat kain putih yang tidak tahu tentang apa-apa dan ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya. Ibu bapa mestilah memberikan ajaran dan didikan kepada anak-anak mereka sejak dari kecil lagi supaya mereka berkeperibadian tinggi. Tambahan pula, ibu bapa hendaklah menjalinkan hubungan yang mesra sesama anak-anak mereka. Mereka haruslah meluangkan masa bersama dengan anak-anak untuk menjalankan aktiviti seperti membaca, melukis dab bermain badminton. Mereka juga sepatutnya memberikan perhatian dan kasih sayang yang sepenuhnya serta menyediakan suasana yang harmoni kepada anak-anak mereka. Dengan itu, remaja kini barulah tidak terjebak ke dalam kancah sosial.

Selain itu, pihak sekolah juga merupakan salah satu cara yang boleh membendung masalah ini. Guru-guru seolah-olah ibu bapa para remaja di sekolah. Guru-gurur memberikan nasihat dan menolong mereka sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah di sekolah. Guru-guru agama, pendidikan moral dan pendidikan sivik dan kewarganegaraan berperanan untuk memberikan pendidikan agama dan moral kepada para pelajar. Mata-mata pelajaran ini merupakan satu langkah ke arah membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Pelajar-pelajar yang mempunyai pegangan agama dan nilai moral yang kuat adalah dipercayai tidak mudah diperdaya oleh kawan untuk melakukan sesuatu yang tidak bermoral. Unit bimbingan dan kaunseling sekolah haruslah kerap menjalankan sesi kaunseling dengan para pelajar terutamanya mereka yang terlibat dengan masalah disiplin supaya dapat membentuk jati diri yang teguh dalam jiwa mereka. Pihak sekolah turut boleh mengadakan ceramah dan kempen contohnya kempen pencegahan jenayah yang mendedahkan para pelajar tentang kesan-kesan negatif terlibat dalam gejala sosial dengan mengharapkan mereka dapat menjauhi diri dari perbuatan negatif itu.

Di samping itu, masalah ini dapat diselesaikan dengan adanya sumbangan dari pihak kerajaan dan masyarakat. Pihak kerajaan seharusnya menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan hukuman yang setimpal ke atas remaj-remaja yang terlibat dalam gejala sosial. Pihak polis juga hendaklah meningkatkan rondaan dan pemantauan di sekitar bandar dan kawasan yang sering berlaku kes sosial. Hal ini dapat menakutkan para remaja dari melibatkan diri dalam gejala sosial. Kerajaan turut boleh melancarkan kempen kesedaran tentang gejala sosial di seluruh negara agar para remaja mengetahui impak-impak negatif apabila melibatkan diri dalam gejala sosial. Untuk mengatasi masalah sosial dengan sepenuhnya, masyarakat sepatutnya berganding bahu dengan pihak kerajaan seperti bak kata pepatah, "bagai aur dengan tebing". Masyarakat sewajarnya melaporkan sebarang kes gejala sosial kepada pihak berkuasa supaya tindakan yang lanjut dapat diambil.

Sebagai kesimpulan, masalah sosial haruslah dipandang serius oleh semua pihak kerana para remaja merupakan aset yang penting untuk pembangunan negara pada masa yang akan datang. Justeru, semua pihak mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab untuk menangani masalah sosial supaya para remaja tidak terjerumus dalam gejala sosial dan menerajui negara kita ke arah Wawasan 2020.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "KESIMPULAN"

Post a Comment