PEMBUANGAN BAYI

Saban hari, isu pembuangan bayi hangat kembali. Pada 18 Julai 2010 yang lalu, janin berusia empat bulat ditemui ditanam di bahu jalan berhampiran Bandar Puteri Puchong, Selangor. Pada bulan yang sama, bayi yang dipercayai dua hbaru ari dilahirkan dijumpai di lorong belakang sebuah kedai di Taman Beverly, Kuching. Ibu bapa yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini sanggup membuang bayi mereka di tempat-tempat seperti longkang, tong sampah, mangkuk tandas dan ada yang ditanam hidup-hidup. Menurut statistik kes pembuangan bayi di Malaysia, sebanyak 407 kes pembuangan bayi berlaku dalam tempoh tahun 2005-2010 dan sebanyak 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf dari tahun 2000-2008. Statistik tersebut jelas membuktikan bahawa gejala pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf adalah implikasi daripada masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja. Oleh hal demikian, punca-punca berlakunya kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini haruslah dikaji secara mendalam dan langkah-langkah yang sepatutnya harus dipraktikkan untuk membanteras gejala ini.

Faktor utama berlakunya kes pembuangan bayi adalah faktor masyarakat. Masyarakat yang kurang prihatin dan bersikap dingin terhadap isu ini merupakan salah satu punca gejala ini berlaku secara berterusan. Secara amnya, masyarakat sering memandang rendah atau memandang kotor terhadap golongan yang terlibat dalam perbuatan zina, mengadakan hubungan seksual sebelum kahwin atau pergaulan seks bebas. Oleh itu, apabila seseorang remaja perempuan hamil sebelum kahwin, remaja terbabit akan menganggap dirinya tidak dapat diterima oleh masyarakat dan berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat di sekitarnya. Justeru, remaja terbabit enggan meminta pertolongan daripada sesiapa dan mengambil jalan muda untuk membuang bayi yang baru dilahirkan itu semata-mata tidak mahu terasa dipinggirkan oleh masyarakat walaupun timbul rasa bersalah dan berasa menyesal di sudut hatinya.

Selain itu, kurangnya didikan agama juga merupakan punca berlakunya kes pembuangan bayi di ne
gara kita. Golongan remaja pada masa kini lebih mengutamakan keseronokan diri seperti meniru budaya punk dan black metal dari menerima didikan agama serta mendalami ilmu keagamaan. Malahan, ada di antara mereka yang berpendapatan bahawa mempelajari atau mendalami ilmu keagamaan adalah perlakuan yang dilabelkan sebagai kolot. Oleh yang demikian, golongan remaja mudah terpengaruh dan terperangsang apabila didedahkan dengan bahan-bahan lucah yang mudah didapati dalam media elektronik dan media cetakan. Seterusnya, remaja yang mudah terpengaruh akan mempunyai keinginan dan cuba untuk mempelajari apa yang dilihat dalam bahan-bahan lucah tersebut tanpa ingin mengetahui sama ada perbuatan tersebut adalah baik atau buruk, betul atau salah, serta kesannya terhadap diri sendiri. Tatkala, kesan daripada perbuatan zian tersebutlah yang menyebabkan ramai remaja yang hamil pada usia yang amat muda. Bak kata pepatah, "jangan ditentang matahari condong, takut terturut jalan tak berintis", yang bermaksud hendaklah selalu beringat, berhati-hati dan jangan terpedaya oleh sesuatu yang elok dan baik rupanya.

Seterusnya, faktor keluarga turut mendorong pertambahan kes pembuangan bayi yang berlaku dalam kalangan remaja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap ibu bapa yang terlalu menggongkong atau terlalu memberi kebebasan merupakan penyumbang kepada gejala ini. Ibu bapa yang terlalu menggongkong iaitu bersikap terlal
u tertutup, mengawal pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka akan menyebabkan anak-anak bersikap ingin memberontak. Apabila remaja tersebut mempunyai peluang keluar dari rumah, remaja ini akan bertindak secara luar kawalan dan berkelakuan tidak rasional. Malah, bagi keluarga yang terlalu memberi kebebasan, tanpa panduan, pengawasan dan tumpuan daripada ibu bapa, remaja mudah hilang pengawalan diri sehinggalah terjerumus dalam kancah sosial ini. Malahan, kurangnya komunikasi di antara anak-anak dan ibu bapa berkenaan didikan pendidikan moral mahapun pendidikan seks dalam keluarga juga merupakan salah satu faktor remaja terlibat dalam perbuatan zina.

Perbuatan membuang bayi merupakan satu jenayah serius malah zalim. Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang berkesan haruslah diambil oleh semua pihak bagi mengatasi gejala sosial ini. Institusi kekeluargaan memainkan peranan yang amat penting dalam membantu membanteras gejala tersebut. Ibu bapa seharusnya meluangkan masa mereka untuk berkomunikasi dengan remaja, menghormati mereka dengan memberi tumpuan semasa mereka bercakap, cuba untuk memahami dan menerima pendapat anak-anak, memberi didikan agama dan pendidikan sosial yang sesuai jika mendapati anak mereka memiliki bahan atau cetakan lucah sejak kecil lagi. Ibu bapa juga harus mengawal anak-anak agar tidak terjerumus dalam pergaulan yang terlampau bebas. Bagi anank-anak yang sudah terlanjur, ibu bapa haruslah bersabar, bersama-sama berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan bukannya hanya memaki-hamun atau menghalau anak-anak mereka. Justeru, dengan sokongan dan didikan daripada ibu bapa, remaja diyakini tidak mudah terjerumus dalam gejala sosial ini.

Pihak kerajaan mengambil peranan yang sama penting dalam usaha membanteras kes pembuangan bayi. Pertama, kerajaan boleh mengkaji dan menggubal undang-undang agar hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap sesiapa yang terlibat dalam pembuangan bayi. Kelakuan ini dapat menghindari remaja supaya tidak membuang bayi secara sesuka hati, dan pada masa yang sama dapat memberi amaran kepada mereka bahawa tidak mengawalkan pergaulan secara bebas serta mengelakkan diri dari melakukan perbuatan zina. Selain itu, kerajaan juga dicadangkan untuk membuka Pusat Penjaga Ibu-ibu muda atau ibu-ibu tunggal yang mengandung ini adalah bertujuan untuk membimbing, memberi kaunseling serta menyelamatkan nyawa-nyawa bayi yang tidak berdosa daripada dibuang dan dibunuh. Pusat menjaga bayi luar nikah ini memberi peluang kepada anak-anak yang tidak berdosa itu menjalani dan mempunyai hidup yang lebih sempurna dan keperluannya terjaga. Pusat tersebut juga akan membuka peluang kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dan ingin untuk mengambil anak angkat. Langkeh untuk membanteras gejala pembuangan bayi ini turut dipraktikkan di negara-negara barat seperti "Baby's Craddle" di Jerman. Melalui cara ini, nyawa bayi yang tidak berdosa bukan saja dapat diselamatkan, malahan masa depan anak-anak tersebut juga terjamin di samping memberi peluang kepada si ibu dan si bapa untuk menginsafi perbuatan mereka.

Akhirnya, langkah yang boleh dilakukan oleh masyarakat adalah mengadakan kempen-kempen program motivasi. Tanggungjawab ini boleh dilakukan oleh badan-badan sekarelawan, badan kebajikan, media massa mahupun setiap komuniti masyarakat. Misalnya menerusi rancangan program televisyen, pihak media boleh menjemput si ibu yang pernah membuang bayi memberi ceramah agar membangkitkan kesedaran remaja agar sentiasa berwaspada terhadap setiap perlakuan sendiri, tidak melakukan dosa yang akan dikesali kemudian dalam sepanjang hayat sendiri. Kempen pendidikan agama juga boleh diadakan pada masa yang sama untuk memberi pengajaran kepada remaja agar menghargai kesucian diri dan menjadi seseorang yang bermaruah dan berakhlak.

Kesimpulannya, anak-anak merupakan nyawa yang dikurniakan oleh Allah. Setiap nyawa ini mempunyai hak untuk hidup di dunia ini dan bukannya diperlakukan sebegini. Jadi, setiap warganegara mempunyai tanggungjawab untuk membantu dalam membanteras kem pembuangan bayi ini supaya tidak menular dengan lebih serius lagi, sebagaimana yang sentiasa dikatakan, "mencegah adalah lebih baik dari mengubati".


Dituliskan oleh: Lim Yng Yng

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "PEMBUANGAN BAYI"

Post a Comment